Book Review - Memeluk Gerhana by Isa Kamari


Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Ilham dan kehidupannya dari kecil hingga dewasa semasa zaman 1960an-1970an, di waktu Singapura dan dunia berada dalam arus pemodenan dan berlakunya banyak penukaran.

Pada mulanya aku agak bosan membaca novel ini, kerana bahagian pertamanya dimuatkan dengan berbagai informasi mengenai kehidupan kampung pada masa lalu yang pada pendapat aku tidak menyumbang apa-apa kepada jalan cerita. Aku mengambil masa yang panjang untuk membaca babak pertama novel ini kerana ceritanya bergerak dengan lambat sekali. Hanya setelah aku habis membaca novel ini baru aku faham bahawa pencerita (Ilham) sedang mengenangkan zaman kanak-kanaknya dengan teliti kerana ia adalah saat-saat gembira dalam hidupnya. Bagi para pembaca yang tua juga, babak pertama mungkin menyajikan nostalgia zaman lalu, tetapi bagiku seorang anak muda yang tinggal di kota tiada perasaan yang timbul - sekadar memahami serba-sedikit tentang kehidupan kampung dari kaca mata Ilham.

Aku mula tertarik dengan cerita ini ketika ia masuk ke babak kedua, di mana Ilham masuk ke sekolah menengah. Ini adalah kerana penulis telah mengalihkan perhatian daripada memberi gambaran yang teliti untuk tiap-tiap aspek kehidupan Ilham dan memajukan jalan cerita. Aku mengambil masa hanya satu hari sahaja untuk menghabiskan novel ini selepas itu kerana ceritanya amat menarik sekali.

Mungkin bagi sesetengah orang novel ini mempunyai fungsi sebagai pengisi sejarah masyarakat Melayu pada masa yang lampau, namun bagiku sebagai seorang pembaca kasual ia lebih merupakan kisah sebuah kehidupan insan yang penuh dengan suka-duka, cubaan dan harapan.

Aku berasa puas hati setelah habis membaca novel ini. Encik Isa Kamari adalah seorang pencerita yang baik sekali. Aku paling tertarik dengan puisi-puisi yang telah dimuatkan dalam cerita seperti Bunga Lalang dan Nyanyian Angin. Amat mendalam sekali puisi-puisi tersebut dan 'lazat' dibaca. Izinkan aku menukil:

Mengharap mawar suci
Laksana mengharap
Bertukarnya bunga lalang
Menjadi serumpun padi
(ms. 385)

Jiwa raga terpaksa kuserahkan
Kepada asap, wap dan kabus
Yang ku kumpulkan dengan suatu tenaga akhir
Dengarkanlah nyanyian sepi ini
Kerana mentari terlampau cemburu
Dengan kehadiranku
(ms. 465)

Syabas Encik Isa Kamari!

2 comments:

Anonymous said...

Hai! Salam kenal. Saya dari Malaysia, ada menulis tentang Memeluk Gerhana di Bukuria. Jemput baca dan beri pendapat sebagai orang Singapura :).

ayucendanaputri said...

hai salam perkenalan....memmang benar novel memeluk gerhana sarat dengan falsafah dan prinsip hidup watak utama. Garapan sangat menarik sehinggakan saya membacanya 3 kali.
tentu org singapura bangga kerana latar tempat ceritanya di singapura..